Episod 10
Imbas Kembali
Imbas Kembali
Hampir 15 minit juga aku menelan leteran dan nasihat. Tanpa skrip di tangan. Tanpa ada waktu berhenti seketika. Dan akhirnya aku bersetuju menghadirkan diri ke setiap kuliah yang telah dijadualkan.
Tiba - tiba, lamunan aku dikejutkan oleh suara garau, membunuh cebisan kenangan yang rancak memercik satu persatu ke ruang legar memori.
"Bang, kami nak tutup kedai dah. Kalau nak berangan lagi, esok bolehlah.."
Entah bila waktu dan ketika, mereka mengemaskan meja dan kerusi, tetapi hakikatnya meja yang aku singgah itulah yang terakhir untuk dikemaskan.
"Kalau macam ni gaya, asyik terhenti je boleh jadi sampai 100 episod cereka ni tak berkesudahan". Getus hati kecil mengutuk diri sendiri.
Malam makin larut.
Malam makin hening.
Di tempat beradu, aku kembali menghidupkan lembaran kenangan yang dibunuh oleh suara garau peniaga di kedai makan tadi. Perjanjian yang sudah dipersetujui perlu ditunaikan. Aku merajinkan diri hadir ke setiap kuliah sepertimana yang tercetak.
"Datang kuliah, tapi tidur juga...!!"
Penegasan itu seolah Wanie tidak berpuas hati dengan apa yang aku persetujui. Barangkali dia tidak memahami aku cuma setuju hadir ke kuliah, tetapi bukan untuk tidak tidur semasa kuliah.
"Dah dekat nak exam ni, awak taknak study ke? Kita buat study group?"
Wanie memberi idea. Memberi motivasi. Memberi dorongan. Namun, pada waktu itu, aku hanya mampu memberi ungkapan,
"Saya confirmkan esok eh..."